Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) yang berakhir di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, di sini hari ini.

KUANTAN – Semua penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih perlu mengambil tindakan segera jika terdapat aduan talian oleh pengguna di seluruh negara.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pihak terbabit juga perlu segera melaporkan kepada kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar jalan penyelesaian dapat dibuat.

“Perbincangan lanjut akan diadakan dengan SKMM dan pihak Digital Nasional Bhd (DNB) untuk kita teliti apa yang boleh dilakukan dalam sebarang penambahbaikan.

“Seperti mana kita sedia maklum, secara keseluruhan di negara ini kita telah mencapai sehingga 80.2% capaian 5G kawasan yang berpenduduk,” katanya.

Fahmi Fadzil (tengah) meninjau Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) yang berakhir di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri SKMM, Bukhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Suhaimi Sulaiman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bersama agensi terlibat kini dalam proses menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) secara berperingkat bagi menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih.

Pahang merupakan lokasi ketiga selepas dua sesi serupa diadakan di Putrajaya dan Melaka baru-baru ini.

Fahmi memberitahu, kerajaan dengan kerjasama SKMM sedang berusaha menyelesaikan masalah liputan 5G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan.

“Jadi bagi kawasan yang masih mendapat liputan rendah, kita akan terus bekerjasama dengan pihak telco untu menangangi masalah tersebut.

“Kita akan bincang dan teliti dalam kadar segera namun begitu kalau ada banyak manfaat kita cuba percepatkannya,” katanya.

Jelas Fahmi, sebanyak 8 juta daripada 44 juta pengguna akaun merupakan pelanggan perkhidmatan 5G di seluruh negara yang mana lebih 65 peratus kawasan dalam negeri ini sudah mendapat liputan 5G.

Jumlah itu dijangka bertambah selepas semua syarikat pengendali telekomunikasi tidak lagi mengenakan caj tambahan kepada perkhidmatan terbabit sejak 9 Januari lalu. – MalaysiaGazette