Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk membenarkan graduan asing institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara di negara ini dalam bidang tertentu seperti sektor teknologi tinggi dapat menyemarakkan lagi sektor pendidikan Malaysia sebagai penjana pendapatan untuk negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelajar asing banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan tahun ini sahaja pelajar dianggar berbelanja sebanyak RM7.3 bilion setahun.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memang pun selama ini bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta pelbagai agensi lain untuk tambah bilangan pelajar dan pekerja mahir dalam bidang teknologi tinggi.

“Contohnya projek kolaborasi yang meningkatkan kemahiran graduan kita seperti program latihan bersama industri,” katanya dalam hantaran video di laman X, hari ini.

Namun, Tengku Zafrul berkata, tenaga kerja mahir tersebut amat diperlukan sekarang.

“Pelabur tak boleh tunggu empat tahun lagi. Sebagai contoh contoh industri elektrik dan elektronik perlukan 50,000 jurutera. IPT kita setakat ni cuma keluarkan 5,000 graduan setahun. Jadi nak penuhi permintaan industri akan mengambil masa.

“Kalau pelabur nak graduan dalam kecerdasan buatan (AI) misalnya takkan kita nak sua (berikan) kepada mereka calon yang ada ijazah sains politik. Lagipun mereka (graduan asing) juga sudah faham budaya kerja kita, ini menjadikan mereka pilihan yang sesuai.

“Bukan semua bidang yang dibenarkan untuk graduan asing cuma bidang keutamaan yang tidak cukup  bakat (tenaga kerja) tempatan sahaja yang akan dipertimbangkan,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata, dengan langkah membenarkan graduan asing IPT tempatan bekerja sementara di negara ini juga akan menjadikan industri tempatan akan mendapat bekalan tenaga mahir yang diperlukan.

“IPT tempatan (dapat) diperkasa di arena antarabangsa dan graduan tempatan kita akan terus diberi peluang apabila mereka sudah bersedia,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast