Lokman Noor Adam Foto WAN NABIL NASIR, 03 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO akan meneruskan usaha supaya bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan penuh daripada Lembaga Pengampunan menerusi petisyen yang akan ditandatangan oleh semua ahli parti seluruh negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  akan mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi semasa sekali gus mengumpul tanda tangan ahli-ahli.

“Kita masih nak berusaha untuk memastikan satu lagi pengampunan baharu dapat kita usahakan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim untuk pertimbangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn selepas Mesyuarat Khas MKT.

Mengulas lanjut beliau berkata, parti itu turut mempertimbangkan untuk mengusahakan permohonan supaya Najib dibenarkan menjadi tahanan dalam rumah.

Sehubungan itu Lokman meminta ahli UMNO dan rakyat bertenang dalam masa yang sama menghormati keputusan Lembaga Pengampunan baru-baru ini.

“Kita minta semua pihak terutama ahli-ahli UMNO bertenang, usaha kita belum selesai dan akan berterusan. Kita minta semua rakyat Malaysia menghormati keputusan yang telah dikeluarkan oleh Agong sebelum (Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) ini dan Lembaga Pengampunan Diraja,”ujarnya.

Terdahulu katanya, Mesyuarat Khas MKT hari ini secara konsensus memutuskan untuk meneruskan usaha permohonan pengampunan penuh diberikan kepada Najib.

Sementara itu, Lokman mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Zahid kerana dapat membawa permohonan pengampunan Najib.

“Kita ucap terima kasih kepada perdana menteri, kalau ikutkan pengampunan Najib sepatutnya sudah 1/3 jalani hukuman baru boleh boleh didengar Lembaga Pengampunan.

“Tapi atas usaha presiden dan dibawa oleh PM maka petisyen Datuk Seri Najib dapat didengar awal dan alhamdulillah kita dapat separuh daripada hukuman,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Najib berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan Lembaga Pengampunan semalam selepas beberapa pertimbangan.

“Kenyataan itu ada tidak tepat sikit kerana sebenarnya ada beberapa perkiraan lain terutamanya hukuman untuk penjara separuh tetapi bukan sepenuhnya enam tahun biasanya hanya 2/3 tempoh hukuman ada juga perkara lain seperti setahun ada 15 hari cuti dan sebagainya . Jadi tidak semestinya 23 Ogos 2028 baru dibebaskan,” kata Lokman. – Malaysiagazette