NEW DELHI – Seorang wanita yang dikurung suaminya di dalam rumah mereka selama 12 tahun telah diselamatkan oleh polis di Mysuru di Karnataka.
Mangsa bagaimanapun enggan mengemukakan kes terhadapnya, sebaliknya memutuskan untuk tinggal di rumah ibu bapanya.
Wanita berusia awal 30-an itu mendakwa dia terpaksa menggunakan kotak kecil di rumah untuk dijadikan tandas.
Katanya lagi, dua anak pasangan itu akan menunggu di luar rumah selepas pulang dari sekolah sehingga suaminya pulang dari kerja, dan membenarkan mereka masuk.
“Sudah 12 tahun saya berkahwin. Dia selalu mengurung saya di dalam rumah dan menyeksa saya.
“Tiada siapa di kawasan itu akan menyoalnya… anak saya bersekolah. Tetapi mereka duduk di luar sehingga suami saya pulang dari kerja.
“Saya akan memberi mereka makanan melalui tingkap,” kata wanita itu kepada India Today.
Seorang pegawai kanan polis pula berkata, wanita itu hanya berkurung di dalam rumahnya sejak dua hingga tiga minggu lalu.
“Pergerakannya dihadkan. Dia pernah melawat rumah ibu bapanya pada masa lalu. Suami mengurungnya di dalam rumah sebelum pergi bekerja.
“Suaminya rasa tidak selamat dan dia telah diberi kaunseling,” kata pegawai itu kepada India Today.
Wanita itu adalah isteri ketiga kepada lelaki itu.
Selepas diselamatkan, wanita itu diberi kaunseling.
Dia akan tinggal di rumah ibu bapanya, sehingga masalah rumah tangganya selesai. – Agensi