Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. Foto HAZROL ZAINAL, 29 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menyegerakan pembayaran Faedah Pencen Penakat kepada waris keluarga Gillian Donald yang meninggal dunia akibat terhidu asap berlebihan selepas menyelamatkan jirannya tujuh sekeluarga dalam kebakaran di Merinding Garden, Labuan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata,  Gillian, 41, merupakan Orang Berinsurans di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, oleh itu beliau layak menerima faedah Perkeso.

Faedah itu ialah  Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 secara sekali bayar serta Faedah Pencen Penakat yang dalam proses memuktamadkan jumlahnya sebelum pembayaran dibuat kepada waris beliau.

“Isterinya, Siti Juana Maarop, 39 serta tiga orang anak berumur empat hingga 15 tahun akan menerima Faedah Pencen Penakat untuk sepanjang hayat sehingga tiga anaknya berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Gillian sanggup bergadai nyawa meredah api menyelamatkan jirannya tujuh sekeluarga termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres, sebelum dirinya rebah dan disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas dipercayai disebabkan terhidu asap yang berlebihan.

Tindakan berani Gillian amat terpuji dan akan terus dikenang masyarakat Labuan.

Mohammed Azman turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan berharap bantuan dihulurkan sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung. – MalaysiaGazette