Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas hadir pada perjumpaan tertutup Ketua UMNO Bahagian ketika di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi peringatan kepada semua ahli parti itu supaya tidak mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberi pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Asyraf Wajdi berkata, keputusan itu perlu dihormati kerana ia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan di bawah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Presiden telah bercakap dalam perjumpaan tertutup dengan semua kepimpinan tertinggi UMNO bahagian khususnya MKT, ketua-ketua bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Putri selama hampir dua jam berhubung keputusan MKT semalam.

”Kita hormati keputusan yang dibuat kerana Perlembagaan ini adalah kuasa mutlak yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa.

“Oleh kita kita harap jangan ada suara-suara sumbang mempertikai apa yang telah diputuskan oleh YDPA dalam konteks Lembaga Pengampunan, itu sahaja,” katanya selepas perjumpaan tertutup parti itu, di sini, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan perjumpaan tertutup memberi penerangan kepada 238 Ketua UMNO Bahagian serta exco Pemuda, Wanita dan Putri di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, walaupun menghormati keputusan Lembaga Pengampunan namun pada masa sama semua kepimpinan UMNO, termasuk di peringkat bahagian, sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri itu, seperti ditetapkan dalam mesyuarat MKT semalam.

Pada Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022 kepada enam tahun.

Beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahap kasta apa Asyraf Wajdi ni memberi komen memperjuangkan kebebasan Najib sebagai banduan? Di Malaysia hanya ada DUA SALURAN:-
    Pertama melalui mahkamah untuk dicabar keputusan.
    Kedua melalui Lembaga Pengampunan yang antara ahli mencadang dan menasihati Agong adalah Perdana Menteri. Cara nak berborak dengan keluarga Najib dan ahli UMNO itu adalah untuk ‘mengisi masa terbuang” Pemimpin UMNO.

Comments are closed.