Foto: Maritim Malaysia
KUCHING – Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV1) Maritim Malaysia hari ini menahan dua Bot Nelayan Asing Vietnam (BNAV) diperairan Mukah, Sarawak kerana melakukan aktiviti perikanan di kawasan perairan negara.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan sulung OPV1 tu dilakukan di kedudukan 210 batu nautika Barat Laut Mukah ketika kedua-dua bot itu leka melakukan aktiviti tersebut.
“Hasil kejayaan tangkapan ini dianggarkan bernilai lebih RM3 juta telah berjaya diselamatkan dari dicuri oleh nelayan asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Zin Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambah beliau, kedua-dua BNAV itu dibawa ke jeti Maritim Negeri Sarawak sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette