Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan disiasat pasukan keselamatan itu kerana memiliki wang tunai berjumlah RM3,753 ketika terlibat dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu diambil selepas pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman melakukan pemeriksaan ke atas anggota terbabit di lokasi SJR itu.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap beberapa anggota trafik yang ketika itu sedang terlibat dalam tugas sekatan jalan raya melaksanakan Op Alkohol ke atas pemandu kenderaan di jalan raya kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, salah seorang anggota trafik di SJR itu didapati memiliki wang tunai berjumlah RM3,313 manakala pemeriksaan susulan di dalam sebuah kenderaan  di lokasi berkenaan turut berjaya membawa kepada penemuan sejumlah wang tunai sebanyak RM440,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Hussein, kertas siasatan tatatertib telah dibuka terhadap anggota terbabit dan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dan menentukan sama ada wujud sebarang unsur perbuatan rasuah atau pelanggaran prosedur penugasan yang dijalankan.

Tambah beliau, kesemua anggota yang terlibat dalam siasatan terbabit akan dikeluarkan dari pasukan penguatkuasa untuk sementara waktu sehingga siasatan selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast