PUTRAJAYA – Program Susunan Terpanjang Kenderaan @50WP anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan dipilih sebagai penerima anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) di atas pencapaian menyusun 644 kenderaan di sepanjang jalan sejauh 3.35 kilometer.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, acara tersebut diadakan sempena sambutan 50 tahun ulangtahun Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Program tersebut yang membabitkan kenderaan persendirian, kenderaan persatuan, kenderaan milik kerajaan dan swasta melibatkan motosikal, kereta sedan, super car dan motorhome.
“Kenderaan yang terlibat mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan sebagai rasa bangga di samping mengekpresikan rasa cinta dan sayang terhadap Wilayah Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Putrajaya yang bermula 1 Februari lalu.
Sijil Anugerah Malaysia Book of Records itu disampaikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa daripada pegawai MBOR, Siti Hajar Johor.
Dalam pada itu, Hari Terbuka Putrajaya mencatatkan lebih 200,000 pengunjung melebihi sasaran awal seramai 50,000 pengunjung.
“Sambutan yang sangat menggalakkan terutamanya mereka yang ingin mencuba Autamated Rail Transit (ART) yang kita perkenalkan di Wilayah Persekutuan (Putrajaya) ini,” kata Fadlun.
Tambah beliau lagi, kerjasama erat antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti Wilayah Persekutuan dalam mencapai misi mencipta rekod di peringkat negara melambangkan kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai.
Program seumpama ini, tambah Fadlun, dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan dan perpaduan sejagat.
Hari Terbuka Putrajaya yang bermula Khamis lalu berakhir hari ini. – MalaysiaGazette