Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), D Zaliha Mustafa merasmikan bas mini GoKL dan pelucuran laluan baharu GoKL ke 15 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini. Hadir sama adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha kerajaan menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), laluan bas GOKL ke 15 juga akan menggunakan bas elektrik sebagai mod pengangkutan.

Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, mod ini lebih mesra alam sekitar dan akan membawa gaya hidup lebih sihat.

“Penggunaan Bas Mini EV bersaiz lapan meter akan digunakan di laluan baharu GOKL 15 ini di mana pergerakan bas di laluan ini akan lebih lancar dan mudah untuk membuat pusingan terutamanya yang melibatkan kawasan-kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian bas mini GOKL dan peluncuran laluan baharu GoKL ke 15 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur,  Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Bas GOKL merupakan bas dalam bandar dan percuma kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak lapan daripada 10 jumlah isi rumah di ibu negara mempunyai akses dalam lingkungan 10 minit ke mana-mana stesen transit berdekatan menjelang tahun 2040.

Jelas beliau, untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, perkhidmatan pengangkutan sedia ada hendaklah mencapai kualiti yang diharapkan oleh pengguna.

“Contohnya daripada segi peningkatan tahap frekuensi atau kekerapan yang lebih singkat di samping memastikan kemudahan pertukaran mod pengangkutan yang lebih berintegrasi di bawah satu hab yang sama.

“Begitu juga bagi perkhidmatan Bas GOKL ini, kerajaan terus komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan meluaskan laluan sedia ada kepada 15 laluan secara keseluruhannya dengan menambah tahap capaian penduduk kepada perkhidmatan ini,” katanya lagi.

Sejak 1 Februari 2024, laluan ke-15 ini telah memulakan perkhidmatan yang menghubungkan penumpang dari Prima Alam Damai ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Untuk rekod, laluan GOKL 15 melibatkan laluan di beberapa buah kawasan perumahan berkepadatan tinggi seperti Residensi PR1MA Alam Damai, Residensi Razak Mas, Flat Taman Desa Cheras, Flat Taman Bukit Anggerik, Kuarters Institut Pendidikan Alam Damai, SMK Alam Damai, SK Alam Damai, SMK Orkid Desa, Madrasah Makarimul Akhlak,  Kondominium Angkasa dan Kondominium Puncak Banyan.

Laluan baharu ini diwujudkan bagi memberikan lebih pilihan kepada orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam selain turut memudahkan pengguna membuat pertukaran mod pengangkutan dari bas kepada pengangkutan rel sama ada MRT atau LRT.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, Bas GOKL mencatatkan seramai 11.5 juta penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut  tahun lalu.

Menurut Datuk Bandar, secara purata 32,000 warga kota menggunakan perkhidmatan GOKL setiap hari dan melibatkan hampir satu juta pengguna sebulan.

“Jumlah penumpang menunjukkan peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding tahun 2022 yang mencatatkan 8.6 juta orang penumpang,” katanya. – MalaysiaGazette