SPRM hakim
Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu dipercayai berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di negeri itu bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, empat individu yang ditahan berhubung yang melibatkan kontrak pembekalan makanan bernilai RM1.3 juta itu membabitkan seorang guru besar, ketua pembantu tadbir dan dua orang pengurus syarikat yang terbabit sama.

”Dalam satu operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Terengganu mendapati kesemua suspek berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula tahun 2022 sehingga 2023 melibatkan tuntutan ke atas 100 orang murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

”SPRM Terengganu dalam operasi yang sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah yang sama.

”Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an dipercayai telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar pukul  11 pagi,” katanya.

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok, 6 Februari bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut terhadap kempat-empat suspek.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menafikan tangkapan susulan berkaitan siasatan itu. – MalaysiaGazette