JASIN – Kerajaan perlu menghapuskan dasar menetapkan 30 peratus kuota wanita sebagai pembuat keputusan yang hanya akan merugikan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebaliknya peranan wanita dalam bidang profesional tidak harus lagi disekat seperti sebelum ini.
“Kita tidak sepatutnya ada apa-apa (had) siling (seperti) dari segi 30 peratus itu. Kalau dalam sektor awam kita dah sampai 42 peratus, jadi (tak patut) kalau kita nak letak seperti 50 peratus atau apa-apa (had).
“Tak sepatutnya ada ditetapkan siling lagi…kita (wanita) sepatutnya boleh bergerak secara bebas tidak perlu disekat lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja pada Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (SHWA) 2024 di Laman Wanita (LaWa) di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pandangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz bahawa ramai wanita layak mengisi jawatan penting namun dasar had 30 peratus kerajaan telah menghalang potensi golongan terbabit.
Dakwanya, individu yang membawa idea 30 peratus kuota itu mempunyai agenda tersendiri supaya boleh menempatkan rakan-rakannya sebagai ahli lembaga pengarah syarikat.
Sebaliknya, beliau berkata, jika dilihat dari segi kemahiran, kecekapan, kemampuan dan sebagainya, golongan wanita tidak memerlukan kuota itu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, negara mempunyai ramai wanita berkelayakan daripada segi akademik dan pengalaman untuk berada di peringkat pembuat keputusan.
“Tidak perlu kita tetapkan 30 peratus, oh itu (ini) tak boleh (kerana) bagi saya kalau di zaman ini saya bersetuju dengan pandangan Tan Sri Rafidah.
“Beliau telah melatih ramai wanita jadi saya juga sependapat ramai wanita boleh di bawa ke atas (peringkat tertinggi),” katanya. – MalaysiaGazette