Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kes scam tidak menunjukkan trend penurunan, walaupun kerajaan telah melancarkan pelbagai usaha untuk memerangi jenayah itu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah kerugian membabitkan scam turun naik setiap bulan dan banyak lagi kes juga dipercayai tidak dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Beliau berkata, cara penipuan berubah sentiasa dan iklan-iklan scam di media sosial juga tidak dapat dihapuskan secara menyeluruh.

“Berdasarkan data NSRC, aduan kerugian yang diterima melalui talian 997 pada tahun lalu telah mencecah RM183,657,242,” katanya kepada Sinchew Daily.

Nie Ching berkata, kementeriannya telah berhubungan dengan Meta untuk menghapuskan iklan penipuan, tetapi hasilnya kurang memberangsangkan.

Katanya, walaupun Meta memberitahu bahawa sistem saringan mereka berjaya menghapuskan 90 peratus iklan penipuan, tetapi iklan berkenaan masih wujud.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi justeru akan terus memberi desakan kepada Meta.

“Meta tidak boleh menolak tanggungjawab kerana ia telah menerima bayaran untuk menolak kandungan (scam) kepada kami.

“Selain itu, ada juga kandungan tidak berbayar yang tidak disaring. Sebagai syarikat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) terbaik, Meta perlu menguatkan lagi saringan,” katanya.

Nie Ching pada masa yang sama mengakui sukar mewajibkan pengguna media sosial menggunakan nama sebenar.

Katanya, pengguna pada masa yang sama perlu memahami perbezaan antara platform beli-belah yang sah dan media sosial kerana pembelian melalui media sosial adalah berisiko.

“Iklan pelaburan di Internet pula perlu disemakĀ  sebelum seseorang melakukan pelaburan untuk mengelakkan risiko,” katanya.

Tambahnya, bukan mudah untuk menjejak scammer, melainkan mereka menggunakan identiti atau maklumat sebenar. – MalaysiaGazette