Jegan (kiri) meninjau harga serta bekalan ayam selepas mengadakan Pelancaran Skim Harga Kawalan Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di AEON Big Bukit Minyak, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Harga jualan ayam mentah di Pulau Pinang masih kekal antara RM8 hingga RM10 sekilogram (kg) sehingga kini meskipun pengapungan harga dilaksanakan sejak November lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, S. Jegan berkata, ia berdasarkan maklumat daripada pegawai pemantau harga yang membuat tinjauan di lapangan.

Kata beliau, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kenaikan harga ayam selepas pelaksanaan pengapungan harga bahan mentah itu.

Jegan (tengah) bercakap dengan pemberita pada sidang media.

“Berdasarkan pemantauan harga ayam di pasar raya besar kebanyakan peniaga menjual ayam dibawah harga RM9 per kg manakala di pasar awam, gerai dan kedai runcit pula dijual antara RM9.40 ke RM9.50 per kg.

“Bila kita lihat harga ini masih berpatutan selepas kerajaan menamatkan pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam sejak 1 November lalu.

“Ada negeri (yang dimaklumkan) terima aduan mengenai harga ayam tetapi tidak kita di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di AEON Big di Bukit Minyak, di sini, hari ini.

Jegan (tengah) meninjau harga barang kawalan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Sebanyak 11 jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina antaranya udang putih; ikan bawal putih; kubis bulat import; ubi kentang import; bawang putih; halia tua import; lobak putih import dan lobak merah.

Tambah Jegan, seramai 174 pegawai penguatkuasa dan 62 pegawai pemantau harga seluruh KPDN negeri ditugaskan di lokasi strategik sepanjang sembilan hari pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina itu berlangsung. – MalaysiaGazette