PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini sudah memutuskan calon bagi jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, calon bagi menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengahan Mac depan.
“Nama telah dicadangkan (dalam mesyuarat Kabinet) dan serah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk umumkan sebelum sidang Dewan Negara.
“Tapi ia akan dikendalikan sebelum sidang dewan negara bermula sekitar pertengahan Mac, jemaah menteri telah dimaklumkan tapi ikut proses nanti,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Fahmi bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya calon yang dipilih itu daripada parti mana.
Jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara kosong apabila Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 29 Januari lalu.
Sementara itu, Fahmi mengesahkan Kementerian Komunikasi sudah mempunyai calon bagi jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Jelasnya, lantikan kepada jawatan tersebut sedang menunggu pengesahan beberapa dokumen.
“Kita akan umum dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media sama.
Pada November tahun lalu, Dr Mohammad Agus Yusoff menghantar surat peletakan jawatan.
Pelantikan Mohammad Agus sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada awal 2 Februari lalu menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette