Tan Sri Razarudin Husain

PETALING JAYA – Laporan media yang mendakwa bekas Yang Dipertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dilarikan ataupun diculik dari sebuah hospital tidak berasas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan kehilangan bekas Ketua Menteri Sarawak itu perlu diperbetulkan dan salah fakta kerana ia tidak disahkan daripada pihak polis.

“Ada beberapa laporan telah dibuat, mungkin salah fakta, berita yang didengari, ambil gambar daripada WhatsApp, info mungkin tidak tepat.

“Pasal dia bukan datangnya daripada CP (Pesuruhjaya Polis) Sarawak ataupun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ataupun Ketua Polis Negara.

“Dari hospital dia datang ke rumah kediamannya di Demak, adakah dia dilarikan? Tidak.

“Jadi siasatan kita masih berjalan, tapi untuk mengatakan dia diculik memang tak masuk akal,” katanya pada sidang media di Persada Plus, Subang, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Ops Selamat 21 Tahun Baharu Cina.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung isu tular kes membawa keluar bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari sebuah hospital.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, ahli keluarga dan peguam boleh melihat keberadaan Abdul Taib di kediamannya di Demak.

“Anak dia boleh lihat dia di rumah, adik-beradik dia boleh lihat dia di rumahnya di Demak, tiada masalah, ada doktor, ada nurse.

“Jadi fakta sebelum ini, perbetulkan,” katanya. – MalaysiaGazette