KAJANG – Dua individu maut selepas lima kenderaan terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Medan Masria susur ke Lebuh Raya Grand Saga di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semasa kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Batu 9.
“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Medan Masria, lori itu disyaki mengalami masalah brek sebelum merempuh empat kenderaan di hadapannya sebelum terbabas ke lereng bukit di susur ke Lebuh Raya Grand Saga,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Mohd Zaid, kemalangan dilaporkan berlaku lebih kurang 4.45 petang membabitkan sebuah lori dengan empat kereta awam.
Tambah beliau, kemalangan itu mengakibatkan seorang pemandu kereta jenis Proton Saga telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut.
“Seorang penumpang kereta yang mengalami kecederaan parah pula dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Kedua-dua mangsa terbabit dikenal pasti seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia lingkungan 50 dan 60-an.
“Sementara tiga pemandu kenderaan lain pula dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pemandu lori yang berusia 40-an itu terselamat kerana mengalami kecederaan ringan itu kini ditahan polis untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup dari sebuah premis berhampiran lokasi berjaya merakam kejadian itu sebelum tular sejak dimuat naik di media sosial semalam. – MalaysiaGazette