Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus restoran mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual daripada warga asing yang terlibat dalam pergaduhan dengan pekerjanya di luar sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima dua laporan polis mengenai insiden itu yang mana laporan pertama melibatkan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksan iaitu merusuh.

Tambah beliau, kesemua individu yang terlibat dalam pergaduhan itu kini sudah ditahan untuk tindakan lanjut.

“Manakala, laporan kedua telah dibuat oleh pengurus restoran berkenaan yang didakwa diganggu secara seksual oleh warga asing itu dan ia sedang disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana menghendap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Projek Perintis Rapid KL Safety Point di Stesen Monorel Hang Tuah, di sini, hari ini.

Menurut Allaudeen, suspek kes kedua iaitu warga asing berusia 33 tahun kini ditahan rema bagi membantu siasatan kes merusuh

Semalam, polis menahan seramai empat individu berusia 20 tahun dan seorang warga asing berumur 33 tahun kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Sebelum itu tular klip video berdurasi 16 saat yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah restoran makanan segera bergaduh dengan individu lain sementara beberapa pekerja cuba meleraikan pergaduhan itu. – MalaysiaGazette