KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bersedia memikul jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dengan penuh bertanggungjawab demi masa depan masyarakat India di negara ini.
“Setinggi terima kasih saya rakamkan kepada Perdana Menteri kerana memberi mandat dan kepercayaan ini kepada saya.
“Saya sedar bahawa menyandang jawatan Pengerusi MITRA bukan tugas yang mudah sebaliknya sangat mencabar tetapi saya menerima amanah ini sebagai satu tanggungjawab yang harus dipikul dan dilaksanakan secara telus, jujur dan beretika,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan pelantikan itu, Prabakaran akan mengutamakan dan memberi fokus terhadap pembangunan masyarakat India bagi memastikan pendidikan berkualiti dapat disalurkan.
Selain itu, beliau berazam memperkasakan ekonomi keluarga berpendapatan rendah dan mengangkat golongan miskin tegar agar jurang kesenjangan dapat dikecilkan.
“Bagi membentuk satu hala tuju yang lebih progresif dan produktif dalam institusi MITRA, saya akan mengadakan satu kunjungan hormat kepada Perdana Menteri dan satu perbincangan khas akan diadakan kelak dalam memandu MITRA kearah konsep Malaysia Madani.
“Saya juga yakin dan optimis MITRA akan lebih berdaya saing dan mampu mengangkat anak bangsa sejajar kemajuan negara,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: