Suasana Himpunan Kepung Demi Palestin di berhampiran Jalan Tun Razak. Foto SYADILA AMARI, 31 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung penyerahan memorandum Himpunan Selamatkan Rakyat di pintu 2, Istana Negara di sini yang diadakan pada 23 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu lalu.

“Kini kita sedang menunggu keputusan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu siasatan kes itu dalam sidang media semasa lawatan Projek Perintis Rapid KL Safety Point di Stesen Monorel Hang Tuah hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat berkenaan penyerahan memorandum Himpunan Selamatkan Rakyat pada hari sama selepas penganjuran tersebut.

Siasatan awal polis mendapati terdapat kira-kira 700 orang daripada penyokong parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam berkumpul dalam perhimpunan itu di hadapan Istana Negara.

Kemudian, polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan) dengan memanggil dan merakam keterangan daripada beberapa individu termasuk penganjur himpunan tersebut untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette