Presiden SPCAAM, J Solomon.

KUALA LUMPUR – Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kerajaan mengecualikan cukai pendapatan kepada pekerja daripada golongan B40 dan M40 yang bekerja selepas mencapai usia 60 tahun.

Presiden SPCAAM, J Solomon berkata, selepas mencapai usia persaraan 60 tahun, seorang pekerja tidak lagi dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sumbangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan juga dikurangkan kepada 4 peratus.

“Memandangkan ketiadaan perlindungan social dan pengurangan simpanan di masa depan, SPCAAM percaya langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan pekerja berusia dari kumpulan B40 dan M40 sekurang-kurangnya wajar mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dalam tangan.

“Cadangan ini juga mempertimbangkan impak pandemi Covid-19 yang masih terasa setelah empat tahun.

“Dalam landskap ekonomi tempatan dan global pascapandemik yang begitu mencabar, warga emas dari kumpulan B40 dan M40 berkemungkinan perlu terus bekerja walaupun telah mencapai usia persaraan 60 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, jika warga emas tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada negara untuk menjaga mereka, sekurang-kurangnya negara ini patut membolehkan mereka menjaga diri sendiri.

Katanya, pada usia senja, negara wajar membenarkan mereka menyimpan pendapatan untuk keperluan peribadi tanpa meminta mereka untuk terus menyumbang kepada penyelenggaraan dan pembangunan negara.

“Menurut Perdana Menterim, Datuk Seri Anwar Ibrahim, empat pengeluaran khas diluluskan ketika pandemik Covid-19 mengakibatkan 71 peratus pencarum aktif KWSP berusia 55 ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara melepasi garis kemiskinan,”

“KWSP menjangkakan ahlinya perlu terus bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun bagi membina semula simpanan yang dikeluarkan ketika pandemik,” ujarnya. – MalaysiaGazette