Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan akan memutuskan esok permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

Keputusan itu dijadual disampaikan di mahkamah terbuka pada 9 pagi oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Pada 30 Sept 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada kedua-dua wanita itu untuk memulakan cabaran mereka.

Mereka berhujah bahawa peruntukan negeri yang meliputi kesalahan syariah termasuk antaranya sumbang mahram, judi, liwat dan gangguan seksual adalah tidak sah kerana ia sudah dilindungi oleh undang-undang Persekutuan.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Semasa prosiding sebelum ini, Hakim Tengku Maimun berkata isunya bukan mengenai menjatuhkan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Isu yang timbul daripada petisyen itu hanyalah mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk menggubal peruntukan yang dipertikaikan.

Beliau berkata kenyataan bahawa “Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia” adalah tidak benar.

Hakim Tengku Maimun berkata demikian bagi menjawab kenyataan peguam Mohd Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu bahawa adalah penting bagi seseorang untuk memahami cabaran kuasa Mahkamah Syariah sebelum ia terkubur seperti “batu nisan”.

Ketua Hakim turut mengingatkan peguam yang terlibat dalam pendengaran cabaran perlembagaan itu supaya mengelak daripada mengulas kes itu.

Beliau berkata peguam terikat dengan etika profesion mereka dan oleh itu, adalah tidak wajar bagi mereka untuk membincangkan kes yang belum selesai pada forum awam.

Beliau berkata mahkamah membuat pemerhatian kerana begitu banyak yang telah diperkatakan oleh ramai orang mengenai petisyen itu dan kebanyakan daripada apa yang diperkatakan adalah versi yang diputarbelitkan bagi isu sebenar di hadapan mahkamah. – BERNAMA