Sekitar lokasi pencarian tiga kanak-kanak dikhuatiri masih hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Kenjur Kampung Poh, Bidor. Foto ABDULLAH YUSOF, 7 FEBRUARI 2024.

TAPAH – Dua kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor, dekat sini, ditemukan pada Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Hanum Marissa Azam, 2, dan kakaknya, Hanna Mikayla Azam, 7.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kanak-kanak yang berusia dua tahun itu ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di tepi sungai berhampiran dengan kawasan kuari di Kampung Poh Tambahan pada jam 8.55 pagi.

Katanya, seorang lagi mangsa berusia tujuh tahun ditemukan di tepi sungai berdekatan dengan Masjid Kampung Bidor kira-kira 10 minit kemudian.

“Seramai tujuh orang mangsa yang terlibat dengan insiden bencana alam kepala air iaitu tiga orang telah selamat ditemui dan empat jasad telah dijumpai semula. Kesemua mangsa berumur 2 hingga 38 tahun.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) ditutup,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

mangsa kanak-kanak kepala air sungai bidor tapah perak
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan salah seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor. Foto ORANG AWAM

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati ketika menjalankan aktiviti perkelahan pada musim cuti terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata operasi SAR yang memasuki hari kedua itu telah diaktifkan pada jam 8 pagi.

Jelas beliau, ia melibatkan seramai 107 orang daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APMM) serta penduduk setempat.

Terdahulu, anak kedua daripada tiga beradik, Hafiy Muhayat Azam, 4, ditemukan lemas pada jam 9.50 malam Rabu.

Mangsa ditemukan tersangkut pada akar timbunan pokok di dasar sungai pada kedudukan 600 meter dari lokasi keluarganya berkelah.

Identiti mangsa disahkan ibu saudara, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51, yang berada di lokasi kejadian bagi membuat pengecaman.

Sebelum itu, media melaporkan keriangan tujuh sekeluarga yang sedang berkelah di kawasan Sungai Kenjur bertukar tragedi selepas terperangkap dalam kejadian kelapa air sekitar jam 4 petang.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya dipercayai hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Jasad Aszura Bani, 37, ditemukan pada kedudukan kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang, hari sama.

Dalam kejadian sama, ia turut melibatkan kakak kepada Aszura, Aslinda Bani, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka bersama dengan seorang pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an dilaporkan selamat. – MalaysiaGazette