KUALA LUMPUR – Produk penyedut hidung atau dikenali sebagai Energy Stick tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk tersebut.

Katanya, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut
diturunkan.

“Hasil saringan awal di platform e-dagang (e-marketplace) seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, KKM menerima aduan awam mengenai penjualan produk penyedut hidung di dalam talian.

Menurut Muhammad Radzi, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya
untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara
tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,”katanya lagi.

Dalam pada itu,  Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) menegaskan ‘Energy Stick’ adalah sejenis produk yang berbahaya dan menjadi ancaman kepada kesihatan awam.

Justeru, pihak berkenaan bimbang dengan penjualan alat seperti vape atau rokok elektronik itu yang kini giat dipasarkan kepada orang dewasa termasuk pelajar sekolah.

Presiden MPS, Prof Amrahi Buang, menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap penjual yang mempromosikan produk berbahaya ini.

Katanya, penetapan harga dan pemasaran produk yang didakwa, dijual pada harga serendah RM2.50 secara dalam talian menimbulkan kebimbangan serius kerana ia mudah diakses individu termasuk kanak-kanak.

Muhammad Radzi menambah, pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

“Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari
laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau  dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut,”tambah beliau.-MalaysiaGazette