HULU SELANGOR – Polis merampas 6.276 kilogram dadah dipercayai ganja bernilai RM22,000 yang ditemui di dalam sebuah kereta Proton Saga berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kalumpang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, rampasan itu dibuat selepas pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan pukul 8.20 malam semalam.
“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melakukan tangkapan menerusi pemerhatian di tepi jalan berhampiran JPJ Kalumpang.
“Polis merampas tujuh bungkusan plastik foil berwarna kekuningan dengan setiap satu berisi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 43 tahun bekerja sebagai buruh
“Hasil semakan rekod mendapati seorang suspek mempunyai tujuh rekod lampau dadah dan jenayah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ganja,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, pihaknya percaya semua dadah itu akan dipasarkan di sekitar daerah itu.
“Ganja itu boleh dibekalkan kepada 12,552 pengguna dalam masa sehari dengan penggunaan sebanyak 0.5 gram sehari.
“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 14 Februari ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
“Polis juga mengambil tindakan di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi menyiasat aset-aset milik sindiket turut dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette