KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama lima nelayan warga asing ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mereka ditahan pada kedudukan kira-kira 13.6 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak sekitar pukul 2 petang.

Bot itu dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh KM DANGA yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.

“Bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur dalam lingkungan 17 hingga 37 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tekong dan kru tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di bot tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen serta menggaji warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Manakala, kesemua nelayan, bot dan hasil tangkapan mereka berserta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast