Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah menghantar permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mendapatkan bantuan segera bagi operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air Empangan dan Loji Rawatan Air (WTP) Air Itam.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, operasi pembenihan awan penting bagi PBAPP untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air berterusan di Air Itam, yang  memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna air termasuk pengguna domestik dan bukan domestik.

Jelas beliau, operasi pembenihan awan yang dilakukan dengan bantuan SPAN pada Mei dan Jun tahun lalu telah menyumbang kepada jumlah hujan sebanyak 30.5mm di kawasan tadahan Empangan Air Itam dan LRA Air Itam tahun lepas sekali gus memastikan tiada krisis air di kawasan itu.

Pathmanathan.

“Kita telah menulis surat bagi permohonan pembenihan awam itu pada 2 Februari lalu selain meminta Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman membantu dalam merancang dan melaksanakan operasi pembenihan awan.

“Kita mohon pembenihan awam pada Mac depan (musim antara monsun) untuk menyokong usaha meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam.

“PBAPP kini sedang menunggu maklum balas SPAN untuk memulakan perbincangan awal berhubung cadangan operasi pembenihan awan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, pembenihan awam ini juga memainkan peranan penting dalam menjayakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) yang diumumkan Jumaat lalu.

Jelas beliau, pihaknya merancang untuk mendapatkan pengesahan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang minggu ini untuk memulakan AIDAP 2024.

Katanya, menerusi AIDAP 2024 PBAPP menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam secara beransur-ansur dengan mengurangkan pelepasan air dari empangan daripada aliran masuk purata air mentah ke dalam empangan setiap hari.

“Purata aliran masuk ke empangan ialah 15 juta liter sehari (JLH) dan PBAPP hanya akan melepaskan 11 JLH untuk disalurkan kepada LRA Air Itam.

“Kita juga mengekalkan aliran masuk sebanyak 6 JLH daripada Muka sauk Utama dan

Muka sauk Tat ke LRA Air Itam selain mengepam 33 JLH air terawat ke dalam kawasan perkhidmatan LRA Air Itam dari Rumah Pam Padang Brown,” katanya.

Sementara itu, bagi air terawat dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai pula, Pathmanathan berkata, kejayaan AIDAP 2024 bergantung kepada aliran masuk harian sebanyak 15 JLH air mentah ke dalam Empangan Air Itam dari Masuk Balik Pulau, Masuk Aliran Sisi dan Masuk Sungai Pinang Barat.

“Aliran masuk harian sebanyak 6 JLH air mentah ke LRA Air Itam dari muka sauk Utama dan Muka sauk Tat.

“Sehubungan itu, kami memohon bantuan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi mendorong hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air untuk lima muka sauk yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast