TEMERLOH – Polis menahan seorang individu yang dipercayai menunggang aksi ’superman’ berhampiran susur Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur semalam.

Ketua Polis Temerloh, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan, suspek yang juga penghantar makanan berusia 25 tahun itu ditahan di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor malam tadi bagi membantu siasatan.

”Pegawai penyiasat akan memohon reman hari ini terhadap suspek bagi membantu mengenal pasti rakan konvoi yang terlibat sama.

”Video yang dipercayai rakaman dashcam oleh orang awam merakam sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap sambil melunjurkan kaki ke belakang (superman).

”Aksi perbuatan yang dilakukan itu bukan sahaja mengundang bahaya kemalangan kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada 7 Februari, satu rakaman video berdurasi 59 saat telah tular di media sosial Facebook pada jam 2.25 petang memaparkan sekumpulan konvoi bermotor menungggang motosikal dengan aksi berbahaya.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dengan sebarang aktiviti tidak sihat.

Mazlan berharap semua pengguna jalan raya dan memandu dengan berhemah dan berdisiplin, selain pastikan kondisi kenderaan  berada dalam keadaan baik sebelum pulang ke kampung teruatamanya menjelang musim Tahun Baharu Cina ini.

“Masyarakat terutama anak-anak muda agar memandu secara berhemah dan  berdisiplin semasa di jalan raya , sayangi nyawa kita dan nyawa orang lain,” tambahnya.

Tambahnya, polis akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dilindungi selain mematahkan aktiviti mat rempit. MalaysiaGazette