KUALA LUMPUR – Perdagangan Borong & Runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM143.9 bilion pada Disember, dengan suku tahun keempat 2023 mencatatkan RM428.8 bilion.

Peningkatan sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun ini dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 5.0 peratus atau RM3.0 bilion kepada RM62.4 bilion.

Perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 4.4 peratus atau RM2.6 bilion kepada RM62.9 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 5.9 peratus atau RM1.0 bilion kepada RM18.6 bilion.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh perdagangan runcit yang naik 1.8 peratus, diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor yang tumbuh 2.7 peratus.

Walau bagaimanapun, subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -0.4 peratus pada bulan ini.

Pertumbuhan 5.0 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.3 peratus atau RM1.4 bilion kepada RM23.8 bilion.

“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (5.8%), jualan runcit barangan isi rumah (5.9%), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (9.9%), jualan runcit bahan api kenderaan (2.4%), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (2.5%), jualan runcit di gerai & pasar (6.6%) dan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (1.1%).

Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 1.8 peratus, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (1.8%), jualan runcit di kedai pengkhususan (3.2%), jualan runcit barangan isi rumah (1.3%) dan jualan runcit makanan, minuman & tTembakau (1.9%).

Mohd Uzir berkata, subsektor perdagangan borong, kenaikan 4.4 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.4 bilion atau 6.2 peratus kepada RM23.9 bilion diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (5.3%), jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (5.4%), jualan borong makanan, minuman & tembakau (1.4%), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (1.1%),

Perdagangan borong tanpa pengkhususan (2.1%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (0.4%).

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong terus merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -0.4 peratus, terutamanya disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.2%), jualan borong barangan isi rumah (-1.7%) dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (-1.3%).

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Disember dipacu oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 10.9 peratus atau RM0.5 bilion untuk merekodkan RM4.7 bilion diikuti oleh jualan kenderaan bermotor (4.4%) dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (12.3%).

Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini berkembang 2.7 peratus, disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor (4.7%), jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor (0.7%) dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (0.9%). – MalaysiaGazette