KUALA LUMPUR – Sektor pembuatan Malaysia dijangka mencatatkan pemulihan yang kukuh pada separuh kedua 2024 dan indeks pembuatan diunjurkan berkembang 4.6 peratus pada tahun ini, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (KIB).
Dalam nota penyelidikan, katanya, pemulihan sektor pembuatan akan didorong oleh kitaran teknologi pada separuh kedua 2024 dan pemulihan pascapandemik secara berperingkat di China.
“Bank turut menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang kepada 4.9 peratus pada tahun ini.
“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK kami bagi suku keempat 2023 pada 3.7 peratus berbanding anggaran awal 3.4 peratus oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya.
Sementara itu, dalam nota berasingan, Public Investment Bank Bhd menjangka prospek pertumbuhan yang lebih baik untuk sektor perindustrian pada 2024.
Katanya pada 2023, sektor pembuatan dan perlombongan menunjukkan peningkatan sederhana, masing-masing sebanyak 0.7 peratus dan 0.8 peratus manakala sektor elektrik mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus.
“Sektor pembuatan merosot kepada -1.4 peratus tahun ke tahun pada Disember berbanding -0.1 peratus pada November.
“Sementara itu, sektor elektrik naik 4.6 peratus pada Disember berbanding 4.3 peratus pada November,” menurut firma penyelidikan itu. – BERNAMA