KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kerana disyaki cuba menawarkan rasuah kepada anggota polis.
Sumber berkata, suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan kira-kira jam 6 petang semalam setelah diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut sumber, suspek dikatakan cuba menawarkan kira-kira RM100 kepada anggota polis sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan semasa ditahan di pusat bandar Sandakan.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menawarkan rasuah kepada penjawat awam.
Karunanithy turut memuji tindakan anggota polis yang telah menolak tawaran rasuah tersebut.
Beliau menyeru agar lebih ramai penjawat awam terutamanya daripada agensi-agensi penguat kuasa untuk tampil melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM.- MalaysiaGazette