KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Perkida) Malaysia memandang serius isu berkaitan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ini kerana cadangan tersebut jelas bersifat perkauman dan cuba memanipulasikan fakta sejarah, selain memberikan kesan negatif terhadap pembangunan negeri Selangor pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, cadangan ini adalah satu tindakan yang tidak matang, bersifat eksklusif serta terpilih sedangkan umum mengetahui sejarah peradaban bumi Malaysia ini telah wujud berabad lamanya dan tanah ini didiami oleh bangsa Melayu dan Bumiputera Sabah & Sarawak.

Ia juga seolah-olah memperlihatkan terdapat agenda tersembunyi dan berniat jahat yang cuba direncanakan oleh pihak-pihak tertentu dalam mempertahankan perkampungan kaum Cina dalam usaha menyekat pembangunan di kawasan tersebut.

“Tindakan ini hanya akan menyebabkan kegusaran dalam kalangan rakyat di negara ini apabila hanya perkampungan Cina yang diberikan perhatian dan dijaga oleh Kerajaan Persekutuan.

“Perkida Malaysia melihat ia berupa satu cadangan oleh menteri ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan condong dalam membela dan mempertahankan kaum Cina sahaja.

“Cadangan ini juga secara tidak langsung memperlihatkan pendirian dan wajah sebenar parti DAP yang menggunakan kuasa untuk membela kaum Cina dan menafikan hak lain-lain kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Foad berkata, walaupun perkara ini hanyalah diperingkat cadangan, namun ia adalah sesuatu yang sangat serius dan sensitif.

Oleh itu, Perkida Malaysia mendesak supaya Perdana Menteri Malaysia campur tangan dan mengambil tindakan segera bagi menghalang hasrat Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan yang mahu menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Banyak lagi kawasan, penempatan dan tempat bersejarah yang sewajarnya diangkat dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO berbanding Kampung Baru Cina di Selangor.

Perkida juga mendesak supaya perdana menteri mempertimbangkan semula portfolio Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan supaya diberikan kepada menteri Melayu dalam kalangan UMNO atau PKR bagi mengelakkan sebarang perancangan jahat yang menguntungkan kaum Cina semata-mata dilaksanakan.

“Kita tidak mahu perkampungan Cina dipertahankan atas nama Tapak Warisan Dunia UNESCO, sedangkan pada masa yang sama beratus kampung-kampung Melayu dimusnahkan dan dilenyapkan atas nama pembangunan,” tegas beliau.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, Nga juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast