Mahyuddin (duduk, tengah) bersama peserta program akademik FSMP, UMS yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Labuan (KML), baru-baru ini.

KOTA KINABALU – Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa para pelajar aliran sains untuk menyambung pengajian dalam bidang sains makanan dan pemakanan di universiti tersebut.

Dekan FSMP, Prof Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata, fakulti itu  menawarkan empat program ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang pengkhususan Perkhidmatan Makanan, Pemakanan, Teknologi Makanan, serta Sains Makanan dan Pemakanan.

Menurutnya, empat program tersebut telah mendapat akreditasi daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dua daripadanya turut mendapat pengiktirafan daripada agensi lain.

“Program Pemakanan (UH6541003) turut mendapat pengiktirafan oleh Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM).

“Manakala Program Sains Makanan dan Pemakanan (UH6541002) pula mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Internatonal Food Technologist (IFT) pada Disember 2023.

“Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan program-program prasiswazah yang ditawarkan oleh FSMP, UMS,” katanya demikian dalam program promosi akademik di Kolej Matrikulasi Labuan (KML), baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah KML, Mohd. Mahyuddin Mohd. Noordin berkata, penganjuran program seumpama itu memberi manfaat besar kepada pelajar KML untuk mendapat pendedahan dalam program akademik dan kerjaya berkaitan sains makanan dan pemakanan.

“Program promosi ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi para pelajar untuk membuat persiapan awal ke peringkat universiti.

“Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang. Pihak KML berbesar hati dan mengalu-alukan peluang kolaborasi lain bersama FSMP kelak,” ujarnya. – MalaysiaGazette