Gambar hiasan

GOMBAK – Orang ramai yang singgah ke Hentian Rehat dan Rawat (R & R) Kundang Barat, Lebuh Raya Ijokā€“Taman Templer (LATAR) dekat sini hari ini terkejut selepas menemui mayat seorang wanita di dalam kereta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, hasil siasatan mendapati si mati dikenal pasti sebagai wanita tempatan berusia 33 tahun.

“Si mati masih lengkap berpakaian dan berada dalam keadaan bersandar pada kerusi pemandu dan barang peribadi miliknya turut ditemui dalam kenderaan dipercayai miliknya.

“Polis juga telah menemui satu bekas diperbuat daripada tanah liat yang berisi arang di bahagian ruang kaki penumpang hadapan yang mana sebahagiannya telah terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abang Kaderi, pemeriksaan pada fizikal si mati mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badannya.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan orang awam lebih kurang pukul 11 pagi tadi mengenai penemuan mayat wanita dalam kereta di R & R Kundang.

Katanya, bertindak atas maklumat itu pasukan penyiasat bersama forensik telah bergegas ke lokasi dan siasatanĀ  mendapati wanita itu meninggal dunia lebih 24 jam lalu.

Proses pengecaman mayat oleh adik dan rakannya telah dilakukan di lokasi kejadian tersebut.

“Si mati dipercayai telah membunuh diri dengan menghidu arang yang telah dibakar di ruang kaki penumpang hadapan. Mayat wanita itu telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sungai Buloh untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya,” ujarnya.

Kes sedang disiasat dan diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sementara orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil segera menyalurkannya kepada polis sebagai membantu siasatan kes dengan menghubungi Sarjan Zulkifli Nordin di talian 011-69728629 atau bilik gerakan IPD Gombak 03-61262222. – MalaysiaGazette