Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Kejadian-kejadian salah laku melibatkan anggota polis sejak kebelakangan ini telah menconteng arang ke ‘muka’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayan masyarakat terhadap PDRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelanggaran tatatertib ini sudah tentu mencalarkan nama baik PDRM.

Antaranya, seorang pegawai kanan polis ditahan kerana terlibat dalam kes bunuh dengan melanggar pelajar Tingkatan Lima di Perak, ketua balai polis disiasat kerana melakukan kekerasan terhadap seorang lelaki di Johor.

Selain itu dua anggota ditahan kerana terlibat dalam kes samun, rogol pelajar perempuan warga asing dalam kereta peronda (MPV) di Selangor.

Satu lagi insiden melibatkan lima anggota ditahan kerana terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang pekerja kilang di Pulau Pinang; penemuan wang tunai berjumlah RM3,753 dimiliki anggota polis ketika menjalankan tugas di Selangor.

Beliau berkata demikian dalam amanat Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Februari 2024 Anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman di sini, hari ini.

Tambahnya, dua lagi anggota polis ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes samun di Terengganu dan lima pegawai ditahan miliki ketum di Melaka.

Ada juga anggota polis disiasat selepas menyimpan beberapa sampul angpau mengandungi wang tunai diragui sumbernya di Kuala Lumpur.

Dalam insiden terbaharu, lapan warga PDRM ditahan kerana terbabit dalam pemerasan wang tunai di Johor.

“Apa yang jelas, kejadian-kejadian ini sememangnya menconteng arang ke muka PDRM dan telah merosakkan reputasi serta mengurangkan kepercayan masyarakat terhadap PDRM.

“Maka, sebagai warga PDRM yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden-insiden sedemikian daripada berulang,” katanya lagi.

Oleh itu, Razarudin berkata, tahap integriti yang utuh dan tatakelola yang baik akan terus menjadi benteng kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada terjebak melakukan rasuah dan perbuatan salah laku.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian serta memberi peringatan kepada seluruh warga PDRM  di semua peringkat supaya lebih bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai dan anggota masing-masing dari setiap sudut.

Tegasnya, PDRM  tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pegawai penyelia yang didapati gagal dalam penyeliaan seperti mana yang termaktub dalam Peraturan 3C (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sesungguhnya, integriti kekal sebagai keutamaan yang perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan.

“Kita perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan selain elak terjebak melakukan kemungkaran sekali gus mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku,” jelasnya.

Dalam ucapan amanat sama, Razarudin juga mengingatkan agar setiap pegawai perlulah melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik, agar kompeten serta mampu melaksanakan peranan sepertimana yang
digariskan di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967.

“Untuk makluman hadirin, sebanyak RM31.44 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2024, bagi pelaksanaan latihan untuk warga PDRM berbanding RM22.09 juta pada tahun 2023.

“Sebanyak 1,968 kursus, latihan dalam perkhidmatan (LDP) dan bengkel dirancang bagi
tahun ini berbanding 1,871 kursus, LDP serta bengkel yang telah dilaksanakan pada tahun lalu sekali gus menunjukkan bahawa PDRM serius dalam usaha meningkatkan tahap kompetensi sumber manusia,” kata beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast