Zahir Hassan pada sidang media mengenai penganjuran Karnival Wangsa Maju Havoc Kita Punya 2024 pada 24 Februari ini di Danau Kota.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dipelawa menyertai Karnival Havoc Wangsa Maju Kita Punya 2024 yang akan diadakan pada 24 Februari ini di Taman Tasik Danau Kota, Setapak, di sini.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, itu akan memberi tumpuan kepada tiga acara utama iaitu Fun Walk, Pelancaran Kad Wangsa Maju Kita Punya dan penyampaian biasiswa kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih oleh Management and Sains University (MSU).

“Karnival akan membuka tirai dengan acara Fun Walk bertemakan bandar rendah karbon yang mana ia merupakan salah satu kempen mengenengahkan bandar perintis rendah karbon demi kelestarian alam sekitar.

“Kita mensasarkan penyertaan 1,800 pengunjung untuk menjayakan karnival ini dan 10 peserta pertama Fun Walk 2.85 kilometer yang tampil dengan ciri menyerlah tema bandar rintis rendah karbon berpeluang memenangi hadiah wang tunai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Menurut Zahir, maklumat lanjut mengenai karnival serta pendaftaran Fun Walk boleh dilakukan menerusi laman sesawang rasmi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Facebook rasmi Zahir Hassan, pautan X dan Instagram.

Tambah beliau, pada karnival tersebut, Kad Wangsa Maju Kita Punya yang memfokuskan warga Wangsa Maju termasuk anak-anak muda akan dilancarkan

Katanya, kad berkenaan merupakan inisiatif tambahan kepada pelekat kenderaan dan motosikal yang diperkenalkan sejak tahun lalu dan orang ramai dikehendaki mendaftar semasa pelancaran kad itu untuk mendapatkannya.

“Kad berkenaan kita memperluaskan hak pemilikan kepada warga Wangsa Maju yang tidak berkenderaan dan berusia 50 tahun dan ke atas layak untuk menebus ganjaran program bulanan dan fungsinya akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama MSU yang merupakan rakan strategik utama kami kali ini dan mereka akan menyampaikan biasiswa kepada calon SPM 2023 untuk meneruskan pengajian mereka,” ujarnya.

Zahir berkata, maklumat lanjut mengenai kursus yang bakal ditawarkan boleh diperolehi daripada MSU dalam karnival tersebut.

Sementara itu, Zahir memberitahu, pihaknya menerusi kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan akan menyalurkan bantuan pakaian seragam kepada anak-anak warga Wangsa Maju yang memerlukan termasuk golongan B40.

Katanya, ujian saringan kesihatan percuma, Bazaar, kaunter-kaunter pameran agensi, kaunter Tabung Haji dan kaunter Pendaftaran PADU akan disediakan pada karnival berkenaan. -MalaysiaGazette