Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggalkan perkarangan mahkamah dakwaan berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam Tun Daim Zainuddin mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak peduli dengan arahan kehakiman apabila masih mengeluarkan kenyataan.

Pihak itu merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 8.2.2024 berhubung siasatan yang mendakwa Daim “ada aset lain yang beliau (Daim) tidak isytiharkan”.

Menurut mereka, ini adalah siri terbaharu kenyataan atau komen yang berterusan daripada Azam dan SPRM mengenai dakwaan pegangan Daim, walaupun pertuduhan mahkamah telah pun belum selesai.

Pasukan peguam itu berkata, selain daripada kenyataan langsung, terdapat juga kebocoran yang tidak berkesudahan melalui apa yang dipanggil “sumber”
SPRM dan sebagainya.

“Kenyataan itu secara konsisten membayangkan atau menyatakan secara jelas bahawa Daim bersalah, dengan jelas mengabaikan anggapan tidak bersalah yang merupakan asas sistem keadilan jenayah kita.

“Kenyataan terbaharu Azam mencadangkan Daim melakukan kesalahan dan jelas berkaitan pertuduhan gagal mendedahkan aset yang didakwa.

“Oleh itu, ia adalah tidak wajar dan bercanggah dan sub judis,” katanya kepada MalaysiaGazette

Malah, katanya, Hakim Mahkamah Sesyen yang mempengerusikan kes Daim telah menasihatkan semua pihak dalam kes itu supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

“Jelas sekali komen Azam yang diterbitkan secara meluas, tidak mengendahkan nasihat hakim.

“Kenyataan ini juga sangat memudaratkan hak Perlembagaan pelanggan anak guam untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Oleh itu, pasukan peguam Daim menggesa Azam dan SPRM menghormati sistem keadilan dan proses undang-undang.

Ketika ini, Daim sedang  berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Siasatan SPRM terhadap Daim berpunca daripada maklumat Pandora Paper, yang didedahkan oleh International Consortium of Investigative Journalists pada 2021 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast