KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli menurun 1.1 peratus pada bulan Disember 2023 (30,342 tan metrik) berbanding pada bulan November 2023 (30,669 tan metrik).
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 0.7 peratus (Disember 2022: 30,556 tan metrik).
Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.0%) berbanding sektor estet (12.0%), kata Jabatan Perangkaan Malaysia.
Jumlah stok getah asli pada Disember 2023 meningkat 11.0 peratus kepada 191,320 tan metrik berbanding 172,307 tan metrik pada November 2023.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.9%) dan estet getah (0.1%).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,591 tan metrik pada Disember 2023, menurun 11.7 peratus berbanding November 2023 (51,643 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 41.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2023 diikuti Jerman (12.7%), Iran (3.9%), Amerika Syarikat (3.8%) dan Pakistan (2.8%).
Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak
RM0.9 billion pada Disember 2023, menurun 5.9 peratus berbanding November 2023 (RM1.0 billion).
Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan
penurunan iaitu 2.2 peratus (Disember 2023: 537.63 sen sekilogram; November 2023: 549.67 sen sekilogram) manakala sekerap menurun 3.4 peratus
(Disember 2023: 542.89 sen sekilogram; November 2023: 562.24 sen sekilogram).
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula menurun antara 2.1 peratus hingga 2.2 peratus. The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) menurun 1.6 peratus (daripada USD 1.48/kg kepada USD1.46/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 0.8 peratus
(daripada USD1.67/kg kepada USD1.66/kg).
Prestasi suku keempat 2023 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat
1.5 peratus kepada 93,956 tan metrik berbanding 92,599 tan metrik pada suku ketiga
2023.
Manakala prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku
keempat 2023 pula mencatatkan peningkatan 3.9 peratus berbanding suku
keempat 2022 (90,399 tan metrik).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest pada Disember 2023, trend pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur dengan menyaksikan harga GMM 20 ditutup lebih tinggi pada dagangan terakhir 2023.
Secara keseluruhannya, sentimen positif disumbangkan oleh keyakinan lebih tinggi terhadap lebih banyak langkah rangsangan yang diumumkan oleh China untuk menyokong pemulihan ekonomi serta dengan jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mula mengurangkan kadar faedah pada tahun
2024. – MalaysiaGazette