khairat BKM
Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. foto arkib Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Menjelang cuti persekolahan Sesi 2023/2024, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengingatkan pembayar cukai agar menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dahulu agar percutian ke luar negara tidak tergendala.

Menurutnya, tindakan sekatan perjalanan di bawah Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (AKCHT 1976) adalah antara tindakan yang diambilnya ke atas mana-mana individu yang tidak menjelaskan tunggakan cukai mereka setelah tindakan-tindakan berikut diambil:

1. Pengeluaran surat tuntutan bayaran tunggakan cukai
2. Panggilan telefon
3. Pengeluaran e-mel pemakluman tunggakan
4. Pengeluaran surat pemberitahuan tindakan sivil di mahkamah
5. Tindakan guaman sivil

Sehingga 31 Disember 2023, bilangan kes sekatan perjalanan melibatkan pengarah syarikat adalah sebanyak 12,846 kes manakala indvidu adalah sebanyak 179,719 kes.

Bagi menyemak status semasa percukaian, pembayar cukai boleh melayari portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan juga semakan status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka adalah dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.

Melalui pendekatan kesedaran, pendidikan dan perkhidmatan dalam pelaksanaan operasi percukaian, LHDNM sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudahcara kepada pembayar cukai.

Oleh itu, pembayar cukai adalah dinasihatkan untuk tampil ke pejabat LHDNM bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik sekiranya berhadapan dengan sesuatu kesalahan atau kesulitan.

Pembayaran tunggakan cukai pendapatan boleh dibuat melalui:
• Portal MyTax melalui Perkhidmatan ezHasil > ByrHASiL atau pautan terus https://byrhasil.hasil.gov.my/; atau
• Portal perbankan internet bank komersial yang dilantik sebagai ejen kutipan; atau
• Mesin deposit tunai/ Mesin juruwang automatik (ATM) bank ejen kutipan. – MalaysiaGazette