Rampasan rokok dan arak tidak bercukai kastam oleh KDNKA PDRM 6 Februari lalu di Kuching Sarawak.ihsan JKDNKA Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai dengan tertangkapnya lapan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan haram itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kejayaan itu direkodkan menerusi tiga siri serbuan dengan merampas barangan kontraban bernilai lebih RM98.7 juta di Kuching, Sarawak pada 6 Februari lalu.

Tiga serbuan itu dilakukan hasil risikan dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.

“Hasil operasi itu, kami menahan lapan individu terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas ahli sindiket itu turut berjaya membawa kepada rampasan lebih 40 juta batang rokok pelbagai jenis, 44,325 peti minuman keras jenis bir dan 391 kotak minuman keras.

“Selain itu, kami turut merampas sebuah van, sebuah trak angkat susun (forklift) serta lima telefon bimbit pelbagai jenama dalam serbuan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM98.7 juta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Rampasan rokok dan arak tidak bercukai kastam oleh KDNKA PDRM 6 Februari lalu di Kuching Sarawak.ihsan JKDNKA Bukit Aman

Tambah beliau, kesemua suspek itu kini ditahan untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut dan siasatan sedang diteruskan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan sama, Hazani juga memaklumkan sepanjang tempoh bermula 1 Januari hingga 7 Februari tahun ini pihaknya berjaya melancarkan sebanyak 30 siri serbuan dan operasi termasuk Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah di seluruh negara.

Katanya, hasil daripada serbuan itu, seramai 91 individu berjaya ditahan selepas disyaki  sindiket menyeludup pelbagai barangan kontraban tidak bercukai.

“Pemeriksaan lanjut berjaya membawa pasukan kepada rampasan barangan tidak bercukai iaitu rokok pelbagai jenama, arak pelbagai jenama, minyak diesel bersubsidi serta haiwan dan hidupan liar dirampas yang dianggarkan bernilai lebih RM181 juta atau lebih tepat RM181,,592,100.32,” ujar beliau.

Tegasnya, PDRM sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar tidak berlaku ketirisan hasil negara.

Beliau turut menagih kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya.-MalaysiaGazette