Antara 1502 individu yang ditangkap dalam Op Aman Khas JSJ Bukit Aman di daerah Klang sejak 15 Januari hingga 4 Februari lalu. Ihsan gambar JSJ BUkit Aman

KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggempur daerah Klang secara berterusan selama tiga minggu membuahkan hasil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam serbuan Op Aman Khas 1/2024 meliputi tiga fasa bermula 15 Januari hingga 4 Februari lalu membawa kepada tangkapan seramai 1,502 orang atas pelbagai kesalahan.

Katanya, pelaksanakan Op Aman Khas itu meliputi tiga fasa yang  melibatkan anggota JSJ Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Klang Selatan.

“Kita membentuk sebanyak 95 pasukan yang terdiri daripada 101 pegawai kanan dan 283 anggota untuk menggempur dan melaksanakan operasi tersebut.

“Ia turut disertai agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Tenaga Kerja, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Antara 1502 individu yang ditangkap dalam Op Aman Khas JSJ Bukit Aman di daerah Klang dalam operasi serbuan yang dijalankan bermula 15 Januari hingga 4 Februari lalu. Ihsan gambar JSJ BUkit Aman

Menurut Mohd Shuhaily, operasi yang dilakukan itu tertumpu kepada aktiviti gangsterism, sarang penagih dadah, aktiviti maksiat, kontraban, pendatang tanpa izin (Pati) dan perjudian.

Tambah beliau, dalam membanteras jenayah gengsterime pihaknya melancarkan operasi fasa pertama selama tiga hari bermula 15 Januari lalu yang menyaksikan 85 individu termasuk seorang wanita diberkas dan daripada jumlah itu 29 orang merupakan ahli kumpulan kongsi gelap.

Mohd Shuhaily berkata, dalam operasi itu pihaknya yang  mengenalpasti 16 lokasi tapak projek di Daerah Klang Utara dan Selatan yang menggunakan khidmat pengwal keselamatan warga asing yang membawa kepada penahanan tujuh individu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Dalam operasi sama, pasukan berjaya menjejaki tiga sarang penagihan dadah di daerah itu yang seterusnya membawa kepada tangkapan 40 penagih dadah yang terdiri daripada 33 lelaki, seorang wanita, lima lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi di kilang, pihaknya memberi perhatian mengenalpasti dan menyelamatkan mangsa pemerdagangan orang dengan sembilan kilang haram diserbu yang membawa kepada penahan lapan warga tempatan dan 22 warga asing.

Selain itu, katanya, 301 individu yang terdiri daripada 10 warga tempatan dan 230 warga asing yang bekerja di kilang haram ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Antara 1502 individu yang ditangkap dalam Op Aman Khas JSJ Bukit Aman di daerah Klang sejak 15 Januari hingga 4 Februari lalu. Ihsan gambar JSJ BUkit Aman

“Operasi pada 26 hingga 27 Januari lalu memfokuskan kepada maksiat melibatkan pusat-pusat hiburan, KTV, pusat urut dan premis persundalan yang menyaksikan 74 individu diberkas atas pelbagai kesalahan seperti bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan penjaga premis.

“Manakala, dalam operasi pada 29 Januari lalu, seramai 41 lagi individu dicekup selepas didapati terlibat dalam aktiviti menjual rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam disyaki diseludup masuk ke di Daerah Klang Utara dan Klang Selatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, serbuan ke atas penempatan Pati membawa kepada penahanan 888 orang kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan tinggal lebih masa. – MalaysiaGazette