musang king
Aireroshairi Roslan

KUANTAN – Ketua Penerangan Pas Pahang menyeru semua umat Islam untuk menggunakan saluran politik bagi memastikan syariah Islam kembali ditegakkan di negara ini.

Aireroshairi Roslan menuduh UMNO kini sedang merobohkan Melayu Islam kerana bersengkongkol bersama kerajaan  yang didakwanya liberalis.

Jelasnya kuasa politik amat penting dalam memartabatkan sistem perundangan Islam sendiri dan perlu dipelopori oleh puak beriman.

”Saya seru semua umat Islam untuk menggunakan saluran politik bagi memastikan syariah Islam kembali ditegakkan.

”Mereka pula sedang menginjak-injak Islam di depan mata kita semua,” katanya menerusi kenyataan.

Aireroshairi turut mempertikaikan impak susulan Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

”Apa akan terjadi kepada semua institusi Islam yang lain? JAKIM, Mahkamah Syariah setiap negeri, Jabatan Agama Islam setiap negeri dan Majlis Agama Islam setiap negeri?

”Apa pula akan terjadi dengan dunia pendidikan Islam yang jumlahnya bukan sedikit di Malaysia? Pondok, madrasah, tahfiz, ribath dan semua pengajian aliran agama dari pendidikan awal sehingga setinggi-tingginya,” ujarnya.

Beliau mendakwa kuasa politik yang dipegang oleh kelompok yang dikatan tidak mempedulikan Islam itu perlu segera dijatuhkan.

”Hari ini saya marah. Keadaan ini tidak boleh berlanjutan. Hari ini saya mengharapkan kita belajar, betapa pentingnya kuasa politik itu dikuasai oleh orang yang beriman.

”Betapa pentingnya hadir untuk mengundi dan betapa pentingnya kita bersatu atas nama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette