Kredit : FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Brazil sepakat untuk menjalin kerjasama rapat bagi mempromosi serta melindungi kepentingan negara membangun khususnya dalam membasmi kemiskinan dan kebuluran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu dicapai selepas beliau berinteraksi dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva melalui perbualan telefon semalam.

Beliau berkata mereka juga senada dan sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Brazil khususnya dalam bidang pengurusan hutan, sektor tenaga hijau, perubahan iklim, industri halal, sains serta inovasi.

“Saya turut mengambil peluang ini dengan mewakili rakyat Malaysia bagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden Lula atas sokongan tegas Brazil kepada Palestin,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau turut menerima undangan daripada Lula untuk mengadakan lawatan rasmi ke Brazil pada November.

Perdana Menteri juga berharap hubungan Malaysia dan Brazil akan terus diperkukuh demi manfaat bersama. – BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.