Foto Instagram Aiman Tino.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aiman Tino sudah hilang sabar dan tidak teragak-agak membawa perkara tersebut ke muka pengadilan selepas hampir setahun lebih menuntut bayaran baki hutang sebuah persembahan di Sabah.

Menerusi hantaran di Instagramnya, penyanyi itu memohon bantuan orang ramai untuk mencari pasangan suami isteri yang merupakan penganjur pesta ria (funfair) di Sabah.

“Tujuan saya membuat posting ini adalah untuk mencari penganjur funfair di Sabah yang telah berhutang dengan saya dari tahun 2022 sehingga kini,” tulis Aiman.

Menerusi hantaran sama, Aiman turut memuat naik gambar sebagai bukti usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mendapatkan baki bayaran persembahannya daripada pihak penganjur tersebut.

“Pelbagai alasan diberi untuk mengelakkan dirinya daripada terus berhubung dengan saya sampai hari ini. Saya telah pun mesej berkali-kali meminta hutang yang tidak selesai lagi tetapi saya tidak mendapat sebarang respon atau mesej daripada pihak penganjur.

“Saya hubungi banyak kali, tidak angkat. Mesej tidak berbalas, ini ke cara orang berhutang dan buat tidak tahu sedangkan masih bergiat aktif buat acara funfair di Sabah sehingga hari ini?,” tulisnya.

Disebabkan rasa tertipu dan dikhianati, Aiman menuntut pihak penganjur berkenaan menyelesaikan keseluruhan hutang yang dituntut.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci itu turut memberi amaran jika pihak penganjur berkenaan gagal melunaskan segala baki hutang yang tertunggak, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya ada semua bukti mesej, tolong jangan putar belit. Saya tidak akan memadamkan posting ini sehingga ahli keluarga atau wakil pihak penganjur menghubungi saya dan membuat bayaran hutang penuh. Saya tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah,” ujar Aiman.

Dalam bukti bergambar, penganjur berkenaan berjanji untuk menyelesaikan baki bayaran persembahan Aiman di Sabah yang telah berlangsung pada 1 November 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast