SEPANG – Industri pelancongan negara dijangka terus melonjak pada tahun ini apabila menerima penerbangan sewa khas keenam dari Shenyang, China hari ini.
Penerbangan MH8827 yang selamat mendarat pukul 2.50 petang di Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu disambut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Pesawat yang membawa seramai 287 penumpang itu mendapat sambutan istimewa selain pemberian cenderamata daripada Tourism Malaysia sebagai tanda penghargaan.
Shenyang yang terletak di wilayah Liaoning di timur laut China merupakan laluan terbaru dengan kehadiran pelancong sempena cuti perayaan Tahun Baru China dan musim bunga di negara berkenaan sejak bulan lalu.
Sebelum ini, Malaysia menerima lima penerbangan sewa khas dari China bagi laluan Nanjing-Tawau bermula 23 Januari lalu, Batik Air bagi laluan Chengdu-Langkawi dan Batik Air untuk laluan Zhengzhou-Kuala Lumpur masing-masung bermula 5 Februari lalu.
Penerbangan sewa khas lain adalah Batik Air bagi laluan Chengdu-Kota Kinabalu bermula 9 Februari lalu dan Batik Air bagi lalu Chongqing-Langkawi bermula semalam.
Sejak awal tahun ini, Malaysia telah menerima beberapa laluan baharu oleh syarikat penerbangan tempatan dan asing iaitu China Eastern Airlines bagi laluan Beijing-Kuala Lumpur sebanyak empat kali seminggu bermula 31 Januari lalu, Loong Air bagi laluan Hangzhou-Kuala Lumpur sebanyak tiga kali seminggu sejak 1 Februari lalu dan Batik Air bagi laluan Kunming-Kuala Lumpur sebanyak empat kali seminggu mulai 9 Februari lalu dan Batik Air bagi laluan baharu iaitu Zhangjiajie-Kuala Lumpur sebanyak tiga kali seminggu bermula 18 Februari ini.
Sementara itu, pengumuman percuma visa untuk pelancong China berkuat kuasa 1 Disember lalu menjadi antara faktor utama kehadiran pelancong China yang tinggi ke Malaysia.
Pada 2023, Malaysia menerima kedatangan lebih 1.47 juta ketibaan dari China iaitu pertumbuhan sebanyak 593.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022 dengan 212,603 ketibaan. – MalaysiaGazette