Motosikal yang ditahan dan disita dalam OP Samseng Jalanan oleh JSPT Bukit Aman di Kesas dan Lebuhraya KL-Seremban malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi ‘superman’ ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di Subang, Selangor malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi di bawah Op Selamat 21 disertai seramai 15 pegawai dan anggota yang tertumpu di Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

“Dalam operasi yang dilaksanakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pasukan trafik telah memeriksa sekumpulan penunggang motosikal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban ke arah selatan.

“Hasilnya, sebanyak 106 saman telah dikeluarkan kepada mereka atas pelbagai kesalahan di atas jalan raya.

“Dalam operasi sama, sebanyak enam buah motosikal telah disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azman, dalam operasi di Lebuhraya Kesas pasukan yang menjalankan rondaan pada jam 11.30 malam menahan seorang penunggang motosikal yang disyaki menunggang secara berbahaya dari Kilometer 34.3 sehingga Kilometer 36.3 arah Kuala Lumpur.

Tambah beliau, penunggang motosikal itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati, penunggang itu menunggang motosikal secara bahaya dengan melakukan aksi ala ‘Superman’ di lebuh raya tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette