KUALA LUMPUR – Polis memberikan peringatan kepada para ibu bapa agar sentiasa mengawasi aktiviti dan gerak geri anak-anak mereka khususnya semasa cuti persekolahan sekarang ini.
“Pantau anak-anak anda terutamanya pada cuti penggal persekolahan ini supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman orang atau masyarakat,” kata Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir selepas Op Khas Motosikal di Jalan Utama Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini malam tadi.
Aktiviti yang didakwa sering dilakukan oleh kumpulan remaja itu adalah seperti membuat bising dengan cara mengubahsuai ekzos dan menguji kelajuan, selain berpeleseran di bahu jalan sebagai penonton.
Katanya, operasi itu bertujuan mencegah dan membendung aktiviti segelintir remaja yang sering menganggu ketenteraman awam dengan melakukan bunyi bising menggunakan kenderaan.
Operasi itu disertai dua pegawai kanan dan 21 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, enam anggota dari Balai Polis Rawang dan lapan anggota dari Balai Polis Kundang.
Dalam operasi yang dimulakan dari jam 3 petang hingga 9 malam Ahad, sebanyak 61 orang dan 59 buah kenderaan telah diperiksa polis dan sebanyak 52 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik di atas jalan raya. – MalaysiaGazette