Onn Hafiz ketika mengadakan lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang di sini, hari ini.

PASIR GUDANG –  Kerajaan Negeri Johor bakal membangunkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) pada tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pusat itu akan dibangunkan dengan kolaborasi bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan agensi kerajaan negeri.

“Pembangunan dicapai dalam pertemuan dengan Menteri MITI, Datuk Seri Tengku  Zafrul Abdul Aziz pada minggu lalu. Johor bakal mewujudkan satu pusat fasilitasi pelaburan.

“Semua agensi Persekutuan dan juga negeri yang bersangkut paut dengan pelaburan akan ada satu pusat sendiri, ini adalah yang pertama dalam negara.

“Sebelum ini IMFC memang sudah diwujudkan di Kuala Lumpur tetapi tiada kolaborasi dengan agensi daripada kerajaan negeri,”katanya kepada media selepas membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, pusat sehenti itu adalah kesinambungan daripada pelaksanaan ‘Johor Fast Lane’ yang membabitkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Tahun lalu sahaja menerusi ‘Johor Fast Lane’ sebanyak 30 projek pelaburan telah diluluskan.

“Kita akan mula beroperasi dan ia akan memudahkan pelabur seperti yang disebut pada pengumuman penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor Bahru – Singapura (JS -SEZ) sebelum ini.

“Pusat ini dijangka akan memudahkan pelabur dan tidak perlu pergi banyak tempat untuk berurusan,”katanya.-MalaysiaGazette