Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin bercakap kepada media berikutan beberapa unit rumah pangsapuri terlibat dalam kejadian kebakaran di Flat Sri Sabah, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya lima unit rumah di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, keadaan di kawasan kejadian masih terkawal dan kerja-kerja siasatan sedang dijalankan oleh pasukan polis di lokasi.

“Buat masa ini, kita belum dapat memastikan punca kejadian kebakaran ini dan maklumat awal yang diperoleh adalah tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut kami akan maklumkan sekiranya menerima maklumat daripada pihak bomba (siasatan kebakaran),” katanya kepada pemberita selepas di lokasi kejadian tersebut.

Tambah Zam Halim, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah mengerahkan seramai 50 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan dan membantu siasatan kes kebakaran di lokasi kejadian itu.

Menurutnya, pasukan polis juga akan mengenalpasti kawasan pemindahan sementara, yang mana di sana juga akan ada kawalan daripada anggota.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran di Flat Perumahan awam itu kira-kira jam 9.19 malam tadi.

Kata beliau, bertindak atas panggilan itu, empat balai bomba terdekat di daerah Cheras telah digerakkan bagi membantu memadamkan kebakaran tersebut.

Sebanyak empat jentera dengan kekuatan 55 pegawai bomba dibantu 39 anggota agensi lain antaranya polis dan Anggota JPA bagi membantu operasi ini.

Dimaklumkan, kebakaran berlaku di bahagian sayap kanan bangunan tingkat 17dan lima unit rumah musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya pada jam 11.22 malam  tadi dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan sebelum menyiasat punca sebenar kebakaran tersebut.- MalaysiaGazette