CHUKAI – Polis mempelawa pemilik kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ agar tampil menjadi saksi untuk setiap kes kemalangan atau samseng jalan raya bagi membantu kelancaran Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, kerjasama tersebut akan memudahkan siasatan pihak polis terhadap setiap laporan kemalangan yang diterima sepanjang operasi tersebut dilaksanakan.

“Dengan pendekatan ini semua pemilik dashcam akan menjadi mata-mata awam kepada semua agensi penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan seorang lelaki tempatan yang memandu secara berbahaya di jambatan berdekatan Taman Alam Perdana, Jalan Air Putih, di sini seperti dalam sebuah rakaman video dashcam yang tular telah ditahan pihaknya pada 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata rakaman tersebut membantu siasatan polis mendapatkan waktu kejadian yang tepat, iaitu pada 8.15 pagi, 8 Feb lepas.

“Suspek berusia lingkungan 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Permohonan reman akan dibuat pada esok dan ujian air kencing sedang dijalankan pihak polis,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast